Tiada lagi kes baru, gangguan ketukan pintu misteri berakhir

Selepas 18 hari menghantui penduduk di daerah ini, misteri gangguan ketukan pintu rumah pada waktu malam berakhir apabila tiada lagi kes terbaharu dilaporkan berlaku.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, pihaknya tetap melakukan kawalan rondaan di kampung dan taman perumahan meskipun gangguan itu telah berakhir.

“Kita juga menggalakkan penduduk supaya membuat rondaan di kawasan masing-masing bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada BH.

Dalam pada itu, Agus Salim mengingatkan masyarakat agar tidak memperbesarkan lagi isu gangguan ketukan pintu misteri itu.

“Orang ramai diminta tidak menokok tambah perkara sedia ada selain menyebarkan maklumat tidak sahih hingga menimbulkan ketidaktenteraman kepada penduduk,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan, penduduk daerah Sabak Bernam dilanda tanda-tanya dan ketakutan susulan gangguan ketukan pintu misteri yang berlaku sejak 18 November lalu.

Sumber: Berita Harian

Most Popular