Tiada Jaket Keselamatan Dan ‘Lifeguard’, Suami Mangsa Lemas Ambil Tindakan Undang-Undang

Foto: Utusan

PARIT BUNTAR – Suami mangsa lemas di Pantai Teluk Batik semalam bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang berkaitan dengan insiden tersebut.

Mohammad Hafiz Johari, 31, berkata, keputusan itu diambil apabila isterinya, Nurul Afiqah Abdullah, 34, meninggal dunia di Hospital Seri Manjung pagi tadi.

“Saya bersama isteri, dua orang anak dan seorang adik lelaki merupakan antara mangsa yang terlibat dalam kejadian semalam. Di dalam bot itu terdapat dua lagi keluarga yang turut menjadi mangsa. Kami semua tidak dibekalkan dengan jaket keselamatan oleh pengusaha bot,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sungai Megat Aris, Bagan Tiang di sini hari ini.

Menurutnya, selain tidak dibekalkan jaket keselamatan, dia juga  mendapati tiada pengawal keselamatan pantaI bertugas di sepanjang kawasan pantai pelancongan di situ.

“Selepas kejadian yang dialami, anak perempuan saya, Ainul Mardiah, 3, tahun berulang kali bercakap kepada saya ketika dalam perjalanan pulang membawa jenazah yang dia tidak lagi mahu naik bot.

“Apa yang dicakapkan oleh anak saya itu menyebabkan hati menjadi hiba dan saya dapat merasakan peristiwa itu membuatkan anak perempuan saya trauma setelah kehilangan ibunya dalam kejadian tersebut,” katanya.

Sumber: Kosmo