China Tawar RM636 Kepada Pasangan Yang Mahu Berkahwin Muda

Foto: Utusan

Beijing: Sebuah daerah di timur China menawarkan elaun 1,000 yuan (kira-kira RM636) sebagai ganjaran untuk pasangan muda yang berkahwin pada usia 25 tahun atau lebih muda.

Langkah terbaru itu adalah insentif bagi menggalakkan golongan muda berkahwin di tengah kebimbangan mengenai kadar kelahiran yang semakin menurun.

Dalam notis di akaun WeChat rasmi daerah Changshan, minggu lalu, ada dinyatakan mengenai ganjaran itu yang bertujuan untuk menggalakkan anak muda berkahwin dan melahirkan anak ‘pada umur yang sesuai’.

Ia juga termasuk siri subsidi penjagaan anak, kesuburan dan pendidikan untuk pasangan yang mempunyai anak.

Kebimbangan susulan penurunan populasi pertama China dalam enam dekad dan penduduknya yang semakin tua mendorong pihak berkuasa segera mencuba pelbagai langkah untuk meningkatkan kadar kelahiran.

Ia termasuk pemberian insentif kewangan dan kemudahan penjagaan kanak-kanak yang lebih baik.

Umur dibenarkan untuk berkahwin mengikut undang-undang China adalah 22 untuk lelaki dan 20 bagi wanita.

Bagaimanapun, bilangan pasangan berkahwin menurun sekali gus menurunkan kadar kelahiran.

Polisi rasmi juga menyukarkan wanita bujang untuk mempunyai anak.

Kadar perkahwinan mencecah rekod terendah pada tahun lalu iaitu 6.8 juta, dan ia adalah yang terendah sejak 1986, menurut data kerajaan dikeluarkan Jun lalu.

Terdapat lebih 800,000 perkahwinan pada tahun lalu, berbanding 2021.

Kadar kesuburan China antara yang terendah di dunia dan dianggarkan turun ke paras terendah 1.09 pada tahun lalu, lapor media kerajaan.

Kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi dan terpaksa berhenti bekerja menyebabkan ramai wanita tidak mempunyai lebih banyak anak atau untuk mempunyai anak sama sekali.

Diskriminasi jantina dan stereotaip terhadap wanita yang sepenuh masa menjaga anak juga masih berleluasa di seluruh negara.

Keyakinan pengguna yang rendah dan kebimbangan terhadap keadaan ekonomi negara juga antara faktor utama golongan muda di negara itu enggan berkahwin serta mempunyai anak.

Sumber: Harian Metro