Home Berita Semasa Termakan godaan wanita seksi hingga laku aksi lucah, beberapa lelaki di Sarawak...

Termakan godaan wanita seksi hingga laku aksi lucah, beberapa lelaki di Sarawak rugi RM136,000

BEBERAPA lelaki berusia 18 hingga 47 tahun di Sarawak terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM136,000 gara-gara terpedaya dengan godaan wanita seksi, sehingga sanggup melakukan adegan lucah secara dalam talian.

Modus operandi sindiket ini adalah dengan menghubungi mangsa melalui media sosial dan menyamar sebagai wanita seksi yang menyasarkan mangsa dalam kalangan lelaki, lapor Astro AWANI.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Datuk Mancha Ata berkata sindiket akan membuat panggilan video dan mempamerkan aksi lucah sebelum memperdayakan mangsa untuk melakukan adegan yang sama.

“Sindiket akan merakam aksi tersebut tanpa disedari dan mengugut mangsa dengan menyebarkan rakaman tersebut.

“Mangsa akan dipaksa melakukan pembayaran sejumlah wang ke dalam akaun bank yang juga merupakan akaun milik pihak ketiga yang digunakan sindiket,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, sepanjang tahun 2021 sehingga tempoh semasa tahun 2022, pihak polis kontinjen Sarawak telah menerima sebanyak 35 laporan polis berhubung kes yang serupa.

“Kesan daripada kejadian ini mangsa mengalami tekanan perasaan dan malu kerana maruah diri yang tercalar akibat ugutan dan penyebaran gambar serta video telanjang selain kerugian wang ringgit.

“Sehingga kini terdapat empat kes berjaya diselesaikan melalui Op Bugil Jabatan Siasaran Jenayah Kontinjen Sarawak dengan tangkapan seramai enam suspek dan merampas barang yang digunakan untuk melakukan jenayah tersebut,” terangnya lanjut.

Kes disiasat di bawah seksyen 384 dan 506 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara boleh mencapai tempoh 10 tahun, atau denda, atau sebatan atau kedua-duanya.

Sumber: Astro AWANI