Tambang Bas Sekolah Dijangka Naik Mac Ini

Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia mengesahkan tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka meningkat.

Menurut Presidennya, Amali Munif Rahmat berkata, kenaikan itu berikutan berlakunya pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan jentera terutama di kawasan bandar khususnya Lembah Klang.

“Memang kemungkinan ada peningkatan harga untuk penggal baharu tetapi saya tidak pasti berapa jumlahnya kerana ia berbeza mengikut operator itu sendiri dengan mereka perlu mengambil kira margin perniagaan dan situasi semasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Antara faktor lain kenaikan tambang adalah disebabkan alat ganti kenderaan mahal dan lebih 80 peratus alat ganti diimport dari luar.

“Kalau dulu harga alat ganti RM100 tetapi sekarang dah naik RM120 hingga RM150, dan kos juga berdasarkan penyelenggaraan bulanan.

“Kami juga perlu menukar minyak hitam dan perlu juga melihat berapa jauh perjalanan bas itu setiap bulan sebab itu saya kata operasi setiap operator tidak sama, malah ada juga operator perlu membayar parkir kalau tidak akan disaman,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan sudah tidak mengawal tambang bas sekolah dan ianya mengikut pasaran sejak Januari 2015.

“Pihak persatuan hanya boleh memberi nasihat dan garis panduan kepada operator yang akan mengambil kira dan bergantung terhadap kajian semula penyata untung rugi, selain kata sepakat pihak berkenaan bersama ibu bapa,” katanya.

Amali juga turut mencadangkan kaedah system bas sekolah seperti yang dilaksanakan beberapa negara maju seperti Australia dan Britain untuk tidak membebankan ibu bapa dengan kenaikan itu.

Sumber : Sinar Harian