Takut Bini Marah Duit Gaji Habis, Lelaki Buat Laporan Polis Palsu Dakwa Disamun

Foto: Kosmo

KEMAMAN – Habis duit gaji dibelanjakan, seorang lelaki membuat aduan polis kononnya dia disamun pula.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Helah seorang pembantu kedai membuat laporan polis mendakwa dirinya disamun dua lelaki dan mengalami kerugian RM2,200 akhirnya terbongkar.

Tindakan lelaki berusia 29 tahun itu berjaya dihidu pihak polis setelah mendapati laporan dibuat adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan telah kehabisan duit gaji dan tidak mampu memberikan duit belanja kepada isterinya.

Dalam laporan itu lelaki terbabit mendakwa dia didatangi dua lelaki yang tidak diketahui identitinya dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha Y150ZR berwarna hitam dan merah.

“Pihak polis mendapati pengadu sebenarnya telah kehabisan duit gaji dan tidak mampu berikan duit belanja kepada isterinya.

“Lelaki tersebut mendakwa dia mengalami kerugian selepas sejumlah wang tunai RM1,500.00, dompet, seutas rantai dan sebentuk loket emas bernilai RM700.00 dilarikan dua suspek.

“Lelaki tersebut juga mengaku tidak dapat mengenal pasti suspek kerana memakai helmet, visor serta jaket berwarna hitam,” katanya.

Menurut Hanyan, pihak polis sebelum ini menerima laporan laporan palsu di Balai Polis Pasir Gajah yang mendakwa kejadian itu berlaku di Jalan Ibok– Pamam dekat Bandar Chukai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan, denda sehingga RM2,000 jika sabit kesalahan,”katanya.