Kelantan Masih Berharap Kerajaan Pusat Selesaikan Isu Air

Foto: FMT

Gua Musang: Kerajaan Negeri tidak menafikan masih mengharapkan bantuan Kerajaan Pusat bagi membantu menyelesaikan masalah air di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, hampir semua negeri di negara ini sukar menyelesaikan isu bekalan air tanpa bantuan Kerajaan Pusat.

Katanya sejumlah perbelanjaan yang besar perlu diperuntukkan bagi menyelesaikan isu air di negeri ini.

“Kita mengharapkan kerajaan pusat seperti yang dijanjikan di Kelantan inilah kerana kita memerlukan masa dan memerlukan belanja yang besar.

“Kita mengharapkan kerana kita kerajaan negeri Kelantan sendiri sudah ada satu perancangan yang kita kira sangat komprehensif.

“Tapi masalah air ini kerajaan tak dapat nak selesaikan tanpa sokongan dan bantuan daripada kerajaan persekutuan. Mana-mana negeri pun macam itu,” katanya.

Terdahulu beliau ditemui pada Majlis Pengiktirafan ‘Malaysia Book Of Records’ sebagai ladang Musang King terbesar di Malaysia, di Lojing, di sini semalam.

Terdahulu media melaporkan untuk mengatasi masalah gangguan bekalan air di Kelantan dan Sabah, Kerajaan Persekutuan bersetuju menyalurkan bantuan segera RM800 juta yang merupakan sebahagian daripada kos keseluruhan mencecah RM5 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memulakan langkah untuk mereformasi model industri air di seluruh negara agar lebih mampan dan holistik.

Sumber: Kosmo