Tak Puas Hati Bunyi Pembesar Suara Masjid, Wanita Ada Masalah Mental

Seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan bunyi pembesar suara di Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi dengan melakukan provokasi terhadap Jemaah dilaporkan mengalami masalah mental.

Kejadian pada 12 Mac yang lalu juga bukanlah kali pertama ia berlaku sebaliknya wanita warga emas terbabit sudah beberapa kali melakukan tindakan sama kerana tidak berpuas hati dengan bunyi yang dikatakan bising dari pembesar suara masjid.

Menurut Pengerusi Kariah Jamek Ar-Rahman, Ismail Din berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam, wanita tersebut masuk ke dalam masjid dan bertanyakan kepada jemaah mengenai suara bacaan bilal serta imam yang didakwa terlalu kuat hingga mengganggu kejiranan.

“Wanita itu datang sendirian ketika jemaah sedang melaksanakan solat sunat witir sebelum cuba mencetuskan kekecohan.

“Bukan kali pertama dia bertindak sedemikan, ini kali ketiga malah sebelum ini dua kali wanita itu meluahkan rasa tidak puas hati menerusi kiriman surat namun begitu kami tidak membuat laporan polis berikutan difahamkan dia mempunyai masalah kesihatan mental.

“Bagaimanapun selepas video berhubung kejadian tular di media sosial kami terpaksa buat laporan bagi mengelakkan timbul isu lain termasuk kejadian sama berulang,” katanya ketika dihubungi di sini.

Ismail berkata, keluarga kepada wanita itu ada menghubunginya dan memaklumkan wanita itu mempunyai masalah kesihatan mental selepas pulang dari London.

Laporan polis telah pun dibuat di Balai Polis Batu Feringghi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan