Suspek Seorang Pembersih, Pandai Jaga Rumah Dan Turut Membela Kucing – Jiran

LELAKI yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing di sebuah rumah sewa di Kondominium Bayu Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur dilihat sebagai seorang individu penyayang dan pencinta haiwan peliharaan itu.

Halijah Ahmad, 63, jiran di tingkat sama dengan suspek, berkata lelaki berusia 31 tahun itu adalah seorang pembersih, pandai menjaga rumah dan turut membela kucing.

“Cuma dalam sebulan dua ini, saya nampak badan dia tiba-tiba susut dan sangat kurus serta macam tidak terurus.

“Sebelum ini saya ada bercakap dengannya dan bertanya kenapa nampak kurus… dia kata dia sakit dan perlu ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya kepada Bernama semalam.

Halijah berkata kira-kira dua minggu selepas itu, dia terhidu bau busuk namun menyangka ia hanyalah bau kulit udang yang tidak dibuang dari sebuah unit yang dijadikan inap desa di tingkat atas rumahnya.

“Justeru, saya laporkan kepada pihak pengurusan dan apabila disiasat di tingkat atas, bau itu tiada… sebenarnya bau itu datang dari bangkai kucing yang terdapat di depan rumah suspek yang diletakkan di dalam sebuah kotak putih,” katanya.

Halijah berkata pihak pengurusan dan pemilik rumah terbabit kemudian membuat laporan polis.

Terdahulu, Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) menerusi akaun Facebooknya telah mendedahkan tentang penemuan puluhan rangka, organ dan bangkai kucing di dalam sebuah rumah yang disewa oleh seorang lelaki di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Gambar : FMT | Sumber : Bernama