Suspek Lawan Arus Akhirnya Serah Diri, Tahu Kematian Mangsa Selepas Tonton Berita Di TV

PENUNGGANG motosikal yang melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang, sudah dirakam percakapannya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, setakat ini polis sudah merakam keterangan enam orang termasuk suspek.

Menurutnya, suspek dikenal pasti selepas tampil membuat laporan polis berkait kemalangan yang berlaku pada 14 Jun lalu di Balai Polis Trafik Kajang, semalam.

“Suspek adalah lelaki berusia 41 tahun bekerja sebagai peniaga makanan menetap di Kajang.

“Siasatan mendapati suspek dalam perjalanan dari Ampang untuk pulang ke rumah di Kajang tetapi tersesat dan buat keputusan untuk memasuki jejambat Lebuhraya SUKE dengan melawan arus sehingga kemalangan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat pergeseran dengan motosikal mangsa, suspek juga terjatuh dari motosikalnya.

“Selepas kemalangan terbabit, suspek terus pulang ke rumah dan hanya mengetahui kes berlaku setelah menonton berita di televisyen serta hebahan di media sosial.

“Pemeriksaan pada suspek mendapati lelaki itu mengalami patah di bahu kanan, patah jari kelingking, luka di bahu kiri dan kaki kanan akibat kemalangan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, sebuah motosikal jenis Yamaha dirampas bersama dengan beberapa barang kes lain.

“Kedua-dua motosikal terbabit akan dihantar ke Puspakom dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.

“Tangkapan tidak dibuat memandangkan keadaan suspek dalam keadaan cedera parah dan sukar bergerak.

“Prosedur lanjut akan diambil setelah keadaan stabil,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, penunggang ‘superbike’ jenis Ducati maut akibat terjatuh dari jejambat SUKE berhampiran Ulu Kelang.

Rakaman CCTV berdurasi 12 saat memaparkan motosikal melawan arus tular di media sosial.

Sumber gambar & laporan – Harian Metro