UBAT batuk dan selesema tidak sesuai untuk diberikan kepada kanak-kanak berusia dua tahun kebawah kerana boleh meningkatkan risiko sawan, nafas terhenti dan kematian.
Menurut pakar kesihatan doktor Ahmad Samhan, banyak kes kanak-kanak berusia dua tahun kebawah dikejarkan ke jabatan kecemasan akibat ubat batuk dan selesema terutama jika diberi dos berlebihan atau terlalu kerap.
“The Us Food and Drug Administration (FDA), kanak-kanak dibawah dua tahun tidak boleh diberikan ubat batuk terutama yang tersedia di kaunter (OTC),” katanya melalui perkongsian di Twitter.
Tambahnya, ubat-ubatan ini terlalu mudah untuk didapati dari kedai mahupun farmasi tanpa memerlukan pengesahan dan kebenaran doktor.
“Decongestants (pseudoephedrine), Antihistamine (chlorpheniramine) dan Antihistamine generasi pertama boleh merentasi ‘blood brain barrier’ yang boleh mengganggu sistem histamine dalam otak,” jelasnya.
Katanya, apabila ubat ini diberi pada kanak-kanak, ia akan menyebabkan seseorang yang mengambilnya menjadi mengantuk dan mengganggu pusat pernafasan yang berada di dalam otak.
“Ini boleh menyebabkan kanak-kanak itu berhenti bernafas dengan sendirinya disebabkan pengambilan ubat batuk itu tadi,” katanya.
Perkongsian itu menjadi tular di aplikasi Twitter dengan tontonan sebanyak 510,000, 1,072 tanda suka dan 1,061 ulang ciap.
Doktor Samhan juga turut memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak memberikan ubat batuk kepada kanak-kanak berusia dua tahun kebawah.
Sumber gambar & laporan – Kosmo! Online