Zamsaham Sedia Berunding Dengan Dato Seri Vida Berkenaan Pembelian Kelantan FC

Foto : Vocket FC / JUICE

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sedia berunding dengan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida yang dikatakan berhasrat untuk membeli kelab terbabit.

Jelas Norizam, Vida boleh mengemukakan cadangan harga untuk mendapatkan skuad The Red Warriors (TRW) dengan satu jumlah yang merangkumi nilai semasa kelab dan lain-lain.

“Kalau betul dia (Vida) berminat, boleh jumpa saya dan sediakan surat serta cadangan harga yang dia mahu.

“Kemudian kita akan lihat adakah nilai itu sesuai atau sebaliknya. Janganlah guna media untuk cakap nak beli, tapi akhirnya tak ada apa-apa.

“Kalau betul-betul, kita boleh bincang dan tentukan nilai sebenar. Dulu masa saya nak ambil Kelantan pun saya datang jumpa Kafa (Persatuan Bolasepak Kelantan).

“Dalam masa dua minggu saja sudah selesai pengambilalihan pasukan. Jadi dia kena buat perkara sama, datang jumpa dan kita bincang,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Ditanya berapa nilai TRW, Norizam mengakui ia perlu dibincangkan secara dalaman antara kedua-dua pihak, namun mengakui nilai berkenaan sudah tentunya lebih tinggi daripada jumlah ketika dia membeli pasukan dari tangan Kafa pada 2019 dengan harga RM6.8 juta.

“Kena tengok juga, dulu masa itu (masa beli dari Kafa) pasukan bertanding di Liga Perdana. Tapi sekarang pasukan dah main Liga Super, dah tentu berbeza nilai pasukan sekarang ini,” katanya.

Menerusi dapatan daripada laman sesawang terkenal, transfermarkt.com, nilai semasa Kelantan FC adalah pada tanda harga RM12 juta.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan hasrat Vida yang sedia mengambil alih TRW daripada Norizam dengan anak lelakinya, Muhammad Eric Zaquan Mohd Amin atau lebih dikenali dengan panggilan Kacak yang akan menguruskan pasukan.

Jelas Vida, usaha untuk mengambil TRW adalah demi menyelamatkan pasukan itu yang kini dibelenggu pelbagai masalah termasuk isu berkaitan tunggakan gaji dan menduduki tangga tercorot liga.

Untuk rekod, Vida pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M) pada musim 2015 dan 2016 selepas dia menaja TRW dengan nilai RM16 juta selama dua musim termasuk mengecat Stadium Sultan Muhammad IV dengan warna merah jambu.

Sumber : Harian Metro