Vazquez: Real bukti perwatakan sebenar

Lucas Vazquez membincangkan perwatakan Real Madrid selepas pendahulu LaLiga itu bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Osasuna 4-1 semalam.

Unai Garcia menanduk masuk jaringan pembukaan Osasuna di El Sadar tetapi dua gol dalam tempoh lima minit daripada Isco dan Sergio Ramos meletakkan Real di depan sebelum tamat separuh masa pertama.

Pemain gantian, Vazquez, dan Luka Jovic melanjutkan kelebihan pelawat pada penghujung permainan untuk melengkapkan lima kemenangan liga berturut-turut.

Real tersingkir daripada Copa del Rey pada pertengahan minggu lalu apabila dikejutkan 4-3 oleh Real Sociedad dalam aksi suku akhir dan Vazquez lega dapat mengetepikan kekalahan itu.

“Ia merupakan perlawanan yang penting buat kami, lebih-lebih lagi selepas tewas dalam saingan Copa del Rey.”

 

“Saya berasakan pasukan telah meninggalkan impak yang baik. Ia minggu yang sukar, kemenangan ini membuktikan perwatakan kami.”

Real seri dua kali daripada tiga perlawanan liga ketika berkunjung ke Osasuna dan Vazquez mencadangkan pasukannya telah mempelajari kesilapan lalu.

“Sebelum ini, kami kerap bergelut untuk menang beraksi di sana dan antara punca kami gagal menjuarai saingan liga.

“Kami bermain dengan baik dan akan terus berusaha sehingga tamat musim ini.

 

Sumber – stadium Astro