Ronaldo Tidak Mengejar Rekod Gol, Berbangga Berada Di Peringkat Tertinggi

PENYERANG sensasi Cristiano Ronaldo tidak akan berputus asa bermain untuk Portugal ketika pemain itu bersedia membuat penampilan antarabangsa ke-200 menentang Iceland dalam kelayakan Euro 2024 di Stadium Laugardalsvollur, Reykjavik.

Pemain berusia 38 tahun itu mencipta rekod antarabangsa lelaki baharu apabila memenangi cap ke-197 menentang Liechtenstein pada Mac.

“Saya tidak akan berputus asa untuk datang ke sini (ke pasukan kebangsaan Portugal), kerana ia sentiasa menjadi impian semua.

“Mencapai 200 perlawanan antarabangsa bukan untuk sesiapa sahaja, ia menunjukkan rasa cinta yang saya ada untuk negara dan pasukan saya,” katanya pada sidang media di Reykjavik menjelang perlawanan pada Rabu.

Untuk rekod, Ronaldo menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan sejak Roberto Martinez mengambil alih tugas sebagai pengendali Portugal awal tahun ini.

Namun Ronaldo gagal menjaringkan gol dalam kemenangan bergaya Portugal 3-0 ke atas Bosnia & Herzegovina minggu lalu.

“Saya tidak mengejar rekod, mereka mengejar saya. Saya gembira kerana ia adalah sebahagian daripada motivasi untuk terus berada di peringkat tertinggi bersama pasukan.

“Ia sesuatu yang saya tidak pernah fikir akan dicapai,” kata Ronaldo, penjaring rekod antarabangsa pemain bola sepak lelaki sepanjang zaman dengan 122 gol.

Sumber gambar – Guinness World Record| Sumber laporan – Sinar Harian