Kapal Selam Mewah Menuju Bangkai Titanic Dikesan Hilang, Simpanan Oksigen Hanya Tinggal 70 Jam

PASUKAN Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS)  dan Kanada bertungkus lumus semalam untuk mengesan sebuah kapal selam membawa lima orang termasuk seorang bilionair  yang hilang semasa menuju ke bangkai kapal Titanic di Lautan  Atlantik Utara.

Menurut pihak berkuasa, kapal selam sepanjang 6.5 meter dikendalikan syarikat OceanGate Expeditions itu memulakan selaman awal kelmarin dan terputus hubungan dengan permukaan kurang dua jam kemudian.

Salah seorang pelancong yang menaiki kapal selam itu ialah ahli perniagaan dan bilionair Britain, Hamish Harding.

Pengawal Pantai AS berkata, pihaknya melancarkan pencarian di kawasan yang terletak 1,450 kilometer ke timur Cape Cod, Massachusetts, manakala Pengawal Pantai Kanada telah mengerahkan pesawat dan sebuah kapalnya ke zon pencarian.

“Adalah satu cabaran untuk melakukan pencarian di kawasan terpencil seperti ini tetapi kami mengerahkan semua aset yang ada bagi memastikan bahawa kami dapat mengesan kapal selam ini dan menyelamatkan semua orang di dalamnya,” kata Laksamana Muda Pengawal Pantai AS, John Mauger kepada pemberita di Boston.

Masa merupakan faktor kritikal pencarian mereka. Kapal selam itu mempunyai jarak 96 jam dan lima kru.

Mauger berkata, beliau percaya kapal selam itu mempunyai simpanan oksigen selama lebih 70 jam lagi.

Kapal selam tersebut yang dinamakan Titan, berupaya menyelam pada kedalaman 4,000 meter.

Sumber gambar – Malaysia Gazette | Sumber laporan – Kosmo! Online