Ronaldo akhirnya buka mulut, nafi pindah ke kelab Arab Saudi

BINTANG Portugal, Cristiano Ronaldo akhirnya bersuara mengenai dakwaan yang mengaitkan perpindahan ke kelab Arab Saudi, Al Nassr apabila menegaskan perkara tersebut tidak benar sama sekali.

Ronaldo meninggalkan Manchester United bulan lalu secara persetujuan bersama selepas membuat beberapa kenyataan kontroversi dalam wawancara televisyen dengan Piers Morgan, lapor Astro AWANI.

Laporan media sebelum ini melaporkan pemain Portugal berusia 37 tahun itu berada diambang mengikat kontrak dua setengah tahun dengan Al Nassr yang akan menyaksikan pemenang lima kali Ballon d’Or itu bakal menerima 173 juta pound (RM925 juta) semusim.

Ronaldo menolak khabar angin yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Timur Tengah selepas kemenangan besar Portugal 6-1 ke atas Switzerland dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022 tempoh hari.

“Tidak, itu tidak benar – tidak benar,” kata Ronaldo kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Memetik laporan Sinar Harian pula, sumber yang rapat dengan Ronaldo memberitahu media bahawa ‘perjanjian yang didakwa’ selesai tersebut merupakan perkara karut.

Penyerang itu sebelum ini tidak bertindak mengunci mulut mengenai masa depannya semasa kempen Piala Dunia, namun kini dia mengesahkan tidak akan berpindah ke Arab Saudi.

Al-Nassr adalah antara kelab paling berjaya di Arab Saudi, setelah dinobatkan sebagai pemenang liga utama negara itu sembilan kali, dengan kemenangan terbaru pada 2019.

Sumber: Astro AWANI, Sinar Harian