Neymar Hantar Permohonan Untuk Tinggalkan Paris Saint-Germain

Foto : World Football Index

PARIS – Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain terus diselubungi isu perpindahan pemain apabila seorang lagi bintangnya, Neymar mahu meninggalkan pasukan untuk mencari cabaran baharu bersama kelab lain.

Berdasarkan laporan L’Equipe, pemain dari Brazil itu sudah memaklumkan hasratnya kepada pengurusan tertinggi PSG sekali gus beri tamparan hebat selepas dipalit spekulasi hangat perpindahan penggempur sensasinya, Kylian Mbappe.

PSG sebelum ini kehilangan khidmat Lionel Messi secara percuma yang memilih untuk menyertai Inter Miami dan kini Neymar pula beranggapan kariernya bersama gergasi Ligue 1 itu sudah pun berakhir.

Neymar dikatakan masih lagi terkesan dengan protes oleh kumpulan ultra PSG di depan kediamannya, malah mendakwa kelab itu tidak melakukan perkara sepatutnya untuk melindungi pemain.

Sepanjang jendela perpindahan musim panas kali ini, Neymar yang bernilai £200 juta (RM1.1 bilion) ketika mula sertai PSG pada 2017 sudah pun dikaitkan dengan Manchester United dan Barcelona.

Mbappe yang enggan melanjutkan kontraknya diarahkan berlatih dengan skuad PSG B. – AGENSI