Khabib umum persaraan selepas kalahkan Justin Gaethje, lega lunaskan janji bersama arwah ayah

“INI akan jadi perlawanan terakhir saya”, itulah ucapan mengejutkan Khabib Nurmagomedov selepas mempertahankan kejuaraannya dengan menewaskan petarung Amerika Syarikat, Justin Gaethje.

Pemain Rusia itu turut mengucapkan penghargaan kepada pasukannya tetapi menegaskan tidak akan kembali ke UFC tanpa arwah bapanya, Abdulmanap.

Ketika ditemu bual, Khabib, 32, juga menjelaskan sudah melunaskan janjinya terhadap arwah ayah untuk menjadi petarung yang paling hebat dan beliau telah lakukan hari ini.

Khabib umum persaraan selepas kemenangannya yang ke-29.

Khabib menewaskan Gaethje dengan melakukan grip yang sering dilakukan ketika bertarung.

Juara bertahan lightweight UFC itu mempunyai rekod dengan 29 kemenangan tanpa kalah.

Dalam temubual bersama pemberita, Khabib turut menyelitkan nasihat tentang pentingnya mendengar dan mentaati ibu bapa.

Khabib gagal menahan sebak sejurus memenangi pertarungan awal pagi tadi.

“Jaga hubungan dengan ibu ayah anda kerana satu hari pasti akan berlaku sesuatu.

“Anda tidak akan tahu apa yang akan terjadi esok (satu hari nanti). Anda tidak akan tahu,” katanya kepada pemberita.

Difahamkan, persaraan ini juga adalah permintaan ibunya yang berharap Khabib untuk tidak meneruskan lagi perjuangannya selepas ketiadaan ayahnya.

Arwah ayahnya, Abdulmanap Nurmagomedov, meninggal dunia pada 3 Julai lalu akibat mengalami komplikasi kesihatan disebabkan jangkitan COVID-19.