Home Berita Semasa Sukan Kes Saman Fitnah Selesai, Roslin Mohon Maaf

Kes Saman Fitnah Selesai, Roslin Mohon Maaf

Foto: Utusan

KUALA LUMPUR, 6 September- Kehangatan kes saman membabitkan bekas pemain perseorangan negara Muhammad Roslin Hashim dan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia BAM Datuk Goh Chee Keong @ Kenny Goh akhirnya reda.

Kedua-duanya hari ini mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu saman fitnah di luar mahkamah.

Susulan itu, Roslin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Datuk Kenny kerana telah membuat kenyataan fitnah dan menyinggung plaintif semasa strim langsung atau ‘Facebook Live’ di akaun Facebook miliknya, Abe Lin pada tarikh 19.01.2022.

“Saya berasa kesal atas kenyataan saya yang telah menimbulkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada Datuk Kenny Goh.

“Saya sedar yang kenyataan saya telah mencalarkan reputasi dan nama baiknya terutamanya kepada peminat-peminat sukan badminton di Malaysia.

“Saya juga sedar bahawa saya telah mengaibkan Datuk Kenny Goh melalui kata-kata kesat yang tidak berasas dan tidak patut dinyatakan sama sekali,” katanya.

Saya sekali lagi memohon maaf kepada Datuk Kenny dan berharap agar permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik beliau serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara saya dan beliau.

Roslin yang ditemui selepas prosiding mahkamah bersyukur kerana semuanya sudah selesai dan kini dia mahu ‘move on’.

Sementara itu, Kenny ketika ditemui di luar mahkamah, berkata beliau menerima permohonan maaf yang dikemukakan Roslin itu.

Beliau, menjelaskan, kes berkenaan tidak sesekali menjejaskan kedudukan Roslin sebagai Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Pelantikan Roslin dalam panel penasihat teknikal dibuat oleh Ahli Majlis BAM. Ia tiada kaitan dengan kes ini.

“Saya menerima permohonan maaf daripada Roslin dan bersetuju dengan Roslin yang kita semua perlu bergerak ke hadapan. Saya sudah mengenali Roslin lama,” kata Kenny.

Pada Januari 2022, Roslin dengan lantang mengkritik BAM dan menyebut dua nama, iaitu Datuk Kenny Goh dan Datuk Ng Chin Chai dalam media sosialnya sehingga dua pegawai BAM itu memfailkan saman terhadapnya kerana menyifatkan dakwaan itu berunsur fitnah.