Kento Momota patah tulang hidung, cedera tetapi stabil

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Syed Saddiq (kiri) turut berada di Hospital Putrajaya bagi melawat Kento Momota yang cedera dalam kemalangan di KM13.7 Lebuhraya MEX awal pagi ini. - Foto KBS

KUALA LUMPUR: Pemain badminton Jepun, Kento Momota, mengalami kecederaan patah tulang hidung dan bahagian muka akibat terlibat dalam kemalangan di Kilometer 13.7 Lebuhraya Maju Expressway (MEX), di sini, awal pagi ini.

Bagaimanapun, pemain nombor satu dunia itu kini berada dalam keadaan stabil, menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan.

Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 4.57 pagi itu, Momota menaiki van bersama Pegawai Teknikal BWF Wiliam Thomas, Pembantu Jurulatih Jepun Akifumi Marimoto dan Pegawai Fisioterapi Jepun Yu Hirayama.

“Thomas mengalami kecederaan di bahagian kepala (tujuh jahitan) dan luka di bahagian kaki kanan dan paha.

“Marimoto mengalami patah tangan manakala Hirayama luka di bahagian muka dan sebelah kaki kanan.

“Pemandu van, seorang lelaki rakyat tempatan dikenali sebagai B Nageswarau tersepit di tempat duduk dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ismadi berkata kesemua mereka dibawa ke Hospital Putrajaya dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil ketika ini.

“Van tersebut dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kuala Lumpur apabila melanggar belakang lori yang dikatakan sedang bergerak perlahan.

“Siasatan lanjut diteruskan dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Terdahulu, Momota merangkul gelaran juara Masters Malaysia selepas menundukkan pemain Denmark, Viktor Axelsen 24-22, 21-11 dalam aksi final di Arena Axiata Bukit Jalil, semalam. 

Sumber – Astro Awani