Kelantan Teruk Dibelasah JDT, Norizam Salahkan FAM Tidak Membantu

Foto : Berita Harian

Kuala Lumpur – Kekalahan mengaibkan sehingga 10-0 dengan agregat penuh 15-1 boleh dielakkan jika Kelantan FC dapat menurunkan empat import baharu pada aksi timbal balik kedua saingan Piala Malaysia, malam tadi.

Jelas pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman, kekalahan besar di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu cukup mengecewakan dengan beliau menyalahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana gagal membantunya mendaftarkan awang import berkenaan.

Sebelum ini pada Jumaat lalu, Norizam menjelaskan skuad The Red Warriors (TRW) gagal menurunkan pemain import kerana berdepan masalah dengan sistem pendaftaran di dalam sistem Fifa yang dikenali ‘Transfer Matching System’ ( TMS).

“Saya mohon maaf atas kekalahan 10-0 dengan JDT. Saya orang Johor tetapi saya adalah pemilik Kelantan FC, takda pemilik kelab mahukan kelabnya kalah seperti semalam.

“Kerana ‘privatisation’, saya berada dalam dunia bola. Saya dah usaha bawa pasukan kejurulatihan baru. Jurulatih Alferado, Gonzales, Arif semua dah didaftarkan.

“Tetapi pemain Import baru tak dapat didaftarkan kerana masalah teknikal ‘TMS System’ yang hanya FAM sahaja boleh bantu bermula pembukaan ‘Transfer Ban’ pada 27 Julai 2023. Hanya empat hari Kelantan FC ada masa mendaftar.

“Masalah teknikal TMS ini sangat mudah diselesaikan, tetapi hanya boleh akses selepas 4 Ogos 2023 iaitu selepas tutup pendaftaran pemain asing pada 1 Ogos 2023. Insya-Allah, jika Kelantan boleh daftar, tentu kita tak kalah seteruk ini.

“Sikap ‘double standard’ sesetengah pegawai FAM akan TRW Kelantan FC sangat mengecewakan saya,” katanya di Facebook miliknya hari ini.

Menurutnya lagi, beliau sedar kenyataannya ini boleh mengundang hukuman berat oleh FAM dan Norizam sedia menerimanya.

“Saya tahu Kelantan FC akan didenda, dikenakan tindakan akan komen saya ini. Tapi saya dah empat tahun dengan Kelantan FC, saya tahu Kelantan memang tempat untuk FAM denda. Saya dah biasa,” katanya.

Sumber : Harian Metro