“Kalau ada penyokong kat Old Trafford, dah lama dah Man. United kalahkan Chelsea”

MANCHESTER United masih gagal melakar kemenangan dalam tiga perlawanan di gelanggang sendiri buat pertama kali dalam tempoh 48 tahun, ketika penampilan pertama Edinson Cavani gagal memberi inspirasi kepada tuan rumah selepas seri tanpa jaringan berdepan Chelsea di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana England (EPL) tengah malam tadi.

Cavani dilihat hampir menjaringkan gol pada sentuhan pertamanya selepas dibawa masuk dari tempat duduk bangku simpanan pada separuh masa kedua, tetapi asakan bertali arus United gagal menembusi kubu pertahanan Chelsea.

CAVANI gagal mencetak gol dalam penampilan debut bersama Manchester United. – Reuters

Tewas kepada Crystal Palace pada pembukaan hujung minggu musim EPL sebelum dibelasah 1-6 oleh Tottenham pada aksi di gelanggang sendiri sebelum ini, United sekali lagi dilihat buntu menemui jaringan di Old Trafford.

Satu-satunya kemenangan United dalam enam aksi terakhir di laman sendiri ialah ketika menewaskan kelab Austria LASK dalam saingan Liga Europa musim lalu.

KEDUA-DUA pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dalam perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat. – Reuters

“Masa second half, kami dah cuba nak gandakan asakan dah, hang jangan tak percaya kalau Stretford End penuh mungkin kami dapat menjaringkan gol dah, sebab apa tau dak? Sebab ia meningkatkan tekanan dan kesungguhan kami.

“Nak kata lagu mana, dah memang kami merindui peminat. Benda tu sama jaa untuk semua team tetapi aku rasa semua orang setuju aih yang advantage main depan penyokong tu takdak dah. Laa ni aku cakap terus terang, aku memang tak sabar nak tengok fan mai semula tang stadium laa ni,” kata Solskjaer.

United kini di tangga ke-15 liga, namun masih berpeluang menebus kehampaan di Old Trafford apabila melayan kunjungan Leipzig dalam aksi Liga Juara-Juara serta Arsenal bagi saingan EPL minggu depan.

KECEMERLANGAN Mendy tengah malam tadi jelas mendapat kredit daripada Lampard. Cuba kalau Kepa yang main? – Reuters

Sementara itu, rakan sejawatan Solskjaer di Chelsea, Frank Lampard jelas berpuas hati dapat mengutip satu mata serta tidak dibolosi di Old Trafford.

“Of course la den nak lobeh daripado satu point, tapi semuo kono ingat kito main kat Manchester United, dan bilo gol tak bocor tu pon dah cukup bagus dah den raso.

“Den pon konpius dengan VAR, nampak sangat team den patut dapek penalti tapi ontahlah nak khobar pon tak guno.

“Apo yang penting, player den main bagus dalam game ni, (Edouard) Mendy superb, (Thiago) Silva pon gompak gilo kalau tak Cavani dah score dah,” kata Lampard.

Sumber: Harian Metro