Hasrat Azeem Tidak Tercapai Untuk Ke Separuh Akhir Kejohanan Olahraga Dunia 2023

Foto : Kosmo

KUALA LUMPUR – Hasrat jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi mara ke separuh akhir Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary tidak kesampaian.

Azeem, 19, seperti tidak berada pada prestasi terbaiknya apabila menamatkan saringan 4 di kedudukan ketujuh daripada lapan peserta pada pusingan pertama di Stadium Olahraga Nasional sebentar tadi.

Pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu sekadar mencetak masa 10.26s yang mana lebih perlahan berbanding catatan dilakukannya ketika mengungguli peringkat kelayakan sebelum ini.

Tiga tiket automatik ke separuh akhir daripada saringan itu menjadi milik juara remaja dunia, Letsile Tebogo dari Botswana (10.11s), Rohan Browning (Australia, 10.11s) dan Reece Prescod (Great Britain, 10.14s).

Rakan sepasukan Azeem di Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat iaitu Favour Ashe dari Nigeria turut bernasib malang apabila penyertaannya dalam saringan lima dibatalkan kerana false start.

Apa yang pasti, ini merupakan satu pengalaman berharga buat Azeem dalam misi untuk menjadi pelari Malaysia dan Asia Tenggara pertama melakukan catatan masa bawah 10s.

Atlet dari Teluk Intan, Perak itu selepas ini berpeluang menebus kekecewaan itu dengan menakluk Sukan Asia yang akan berlangsung di Hangzhou, China dari 23 September hingga 8 Oktober depan.

Sumber : Kosmo