Falcao Bersedia Untuk Sahut Cabaran Bersama JDT, Bakal Menjadi Pemain Termahal Liga Malaysia

BEKAS bintang Manchester United, Radamel Falcao dikhabarkan bakal menjadi antara pemain termahal di Liga Malaysia (Liga M) apabila menerima gaji kira-kira AS$1 juta (RM4.5 juta) untuk tempoh semusim.

Bintang Colombia itu mendapat liputan meluas daripada media luar negara yang turut teruja dengan perpindahan pemain berkenaan. Walaubagaimanapun, berita berkenaan belum disahkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT),

Menurut laporan Harian Metro, Falcao dikatakan akan menyertai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu pada pertengahan tahun ini.

Malah, media itu mendakwa Harimau Selatan menawarkan untuk mengikat Falcao selama setahun dan bakal menerima bayaran gaji AS$1 juta semusim.

“Menurut maklumat daripada wartawan Felipe Sierra, kelab terbesar dalam bola sepak Malaysia hampir memuktamadkan untuk menandatangani penyerang itu. Dia akan tiba di sana pada pertengahan tahun,” memetik daripada laporan berkenaan.

Semalam, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) seakan memberi bayangan Falcao semakin hampir ke JDT selepas beliau menyatakan akan berjumpa dengan pemain berusia 37 tahun itu.

“Jumpa anda dalam masa terdekat,” tulis Tunku Ismail yang turut ‘tag’ nama Falcao dan ejen bola sepak, Morris Pagniello.

Ciapan Tunku Ismail itu turut mendapat jawapan balas daripada Falcao yang menyatakan dia tidak sabar untuk berjumpa dengan TMJ.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Falcao bersedia untuk menyertai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.

Kontrak Falcao bersama kelab, Rayo Vallecano bakal berakhir pada Jun ini dan menurut laporan media, dia bersedia untuk mencuba cabaran baharu bersama JDT.

Sumber : Harian Metro | Gambar : Focus Malaysia