Bola Sepak : United Terdesak Untuk Raih Kejuaraan – Pereira

Andreas Pereira mengakui Manchester United kini terdesak untuk menjulang trofi kejuaraan dalam musim ini dan membuktikan keberkesanan yang dihadirkan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

Andreas Pereira mengakui Manchester United kini terdesak untuk menjulang trofi kejuaraan dalam musim ini dan membuktikan keberkesanan yang dihadirkan pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

Pereira membantu United mara ke separuh akhir Piala EFL susulan kemenangan ke atas Colchester United 3-0 di Old Trafford kelmarin.

The Red Devils muncul juara saingan itu, bersama-sama Liga Europa, dalam musim sulung Jose Mourinho mengendalikan United pada musim 2016-17 tetapi sejak itu, mereka gagal meraih sebarang kejuaraan.

Tatkala United kini ketinggalan 24 mata di belakang Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris, saingan lain menjadi peluang terbaik untuk Solskjaer meraih kejuaraan sulung.

Pereira berkata keinginan untuk berjaya dalam skuad sangat tinggi, terutama pemain yang datang daripada akademi, dan dalam masa sama mahu membuktikan seluruh pasukan telah meningkat sejak Solskjaer menggantikan Mourinho.

“Kami terdesak untuk dapatkan trofi,” ujar pemain dari Brazil itu.

“Kami cuba menjulang kejuaraan sejak zaman bersama akademi kini mahu melakukannya bersama pasukan utama.

“Kami telah meningkat. Secara mental, kami lebih sabar, bekerjasama dengan semua pemain dan lebih yakin di atas padang.

“Ia tentang corak permainan United, iaitu serangan balas. Kami terus melakukan serangan dan itu peranan yang dimainkan pengurus. Diharapkan kami dapat teruskannya dan Solskjaer boleh kekal lama.”

Turut meneruskan kemaraan ke separuh akhir adalah penyandang juara, Manchester City, yang akan berkunjung ke Old Trafford tahun depan.

Dalam satu pertemuan kedua-dua pasukan itu awal bulan ini, United menang 2-1 dan Pereira berkata mereka akan menghadapi dua aksi separuh akhir tanpa gentar.

“Ia perlawanan yang menarik. Kami mencuba walaupun tahu ia sukar. Aksi setempat sentiasa istimewa.

“Kami tidak pernah gentar tetapi dalam aksi terakhir, kami menang dan kini perlu melihatnya daripada perspektif berbeza.

“Ia perlawanan baru, saingan separuh akhir, jadi kami perlu hadir dengan sesuatu yang baru kerana tentunya mereka akan lakukan sesuatu yang berbeza.

“Kami cuba persiapkan pasukan sama seperti sebelum ini dan diharapkan kami menang.”