Siapa cakap Dr Noor Hisham letak jawatan?

MAKIN menjadi-jadi pula pihak yang menjadi ejen penyebaran berita palsu apabila yang terbaharu dikatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah meletakkan jawatannya.

Dr Noor Hisham menerusi hantarannya di media sosial menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak yang tidak bertanggung jawab.

Lebih buruk, berita berkenaan turut mendakwa peletakkan jawatan itu berikutan kes Covid-19 yang mendadak di negara ini.

“Ini satu lagi berita palsu dan mengelirukan orang ramai,” katanya menerusi hantarannya di media sosial hari ini.

Sebelum ini, viral pelbagai berita palsu khususnya melibatkan pihak Kementerian Kesihatan berhubung berita berkaitan COVID-19 sehingga menimbulkan keraguan pelbagai pihak.

Setakat ini Malaysia masih berada pada kedudukan empat angka bagi kes harian Covid-19 termasuk beberapa kluster yang masih dilaporkan masih aktif.

Semalam, kes kematian baharu mencatatkan angka tertinggi iaitu sebanyak 21 kes kematian baharu direkodkan. – TheNewsMalaysia