Saya mohon maaf kepada semua rakyat Malaysia’ – Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia sekiranya peletakan jawatanya pada Isnin lalu merupakan satu tindakan yang salah.

Dalam satu perutusan khas yang disiarkan disemua saluran televisyen, Dr Mahathir menjelaskan sebagai manusia biasa beliau juga tidak sunyi dari melakukan kesilapan.

“Sebagai manusia biasa saya tidak sunyi dari melaku kesilapan. Saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah,” katanya.

Dr Mahathir juga memohon maaf kepada seluruh rakyat kerana keadaan politik negara yang kucar kacir dan menimbulkan keresahan.

“Terlebih dahulu izinkan saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana keadaan politik negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan keresahan dikalangan tuantuan dan puan-puan,” katanya lagi

Dr Mahathir juga menjelaskan terdapat banyak sebab mengapa beliau memutuskan untuk meletakan jawatan sebagai perdana menteri.

“Ada banyak sebab mengapa saya meletak jawatan tetapi cukuplah saya katakan bahawa saya merasa kononnya mendapat sokongan dari semua pihak sehingga saya tidak dapat memilih pihak mana yang saya pilih.

“Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa.

“Maka saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya.

“Bagi saya kuasa dan kedudukan itu adalah “a means to an end” ataupun satu alat untuk mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan negara.

“Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak bahawa bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang,” katanya.

Dr Mahathir juga menjelaskan jika masih mendapat sokongan beliau akan kembali menjadi perdana menteri.

“Jika tidak saya akan terima siapa sahaja yang dipilih,” jelas beliau.

Dr Mahathir pada Isnin lalu telah menyerahkan surat peletakan jawatan beliau kepada Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Yang Di-Pertuan Agong yang menerima peletakan jawatan Dr Mahathir kemudiannya melantik beliau sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

-Astro Awani