“Saya bukan hanya rapper, tetapi saya adalah artis dan penghibur” Fariz Jabba

    Tiada jalan pintas untuk anak muda ini bernama Fariz Jabba ini. Berasal dari Singapura dia memulakan kerjaya muzik di usia 17 tahun.

    Namanya mula menjadi perhatian apabila dia memuatnaik video rap dan remix di laman sosial yang secara tidak sengaja tular.

    Ternyata kelebihan yang ada pada anak muda berusia 23 tahun ini membuatkan peminat muzik Hip Hop di Singapura dan Malaysia mengiktiraf bakat yang dimilikinya.

    Lebih manis rezeki terus memihak kepadanya apabila Fariz mendapat peluang muncul dalam siri Youtube Joe Flizzow iaitu 16 Baris, menggabungkan genre hip hop dan R&B arus lama dana baru, lantas berjaya mengetengahkan kekuatan dan keistimewaan Fariz.


     
    Dengan lagu hits yang berjudul Masa dan Ape Sia sehingga berjaya meraih sejuta view di Youtube, Fariz kini adalah bakat baru yang bakal menarik perhatian ramai.


     
    “Saya buat lagu, tulis lirik dan hasilkan video sendiri lalu dimuatnaik dalam Youtube dan Instagram (IG) saya.
     
    “Joe Flizzow ternampak video itu dan dia muat naik pula dalam Youtube 16 Baris dan selepas itu saya diundang membuat persembahan di Malaysia.
     
    “Saya dapat rasakan audiens tertunggu-tunggu bila saya nak keluarkan lagu lalu terakamlah lagu Ape Sia, diikuti lagu Masa,” katanya ketika ditemui di Universal Music Malaysia.
     
    Ketika melihat apa yang dimilikinya kini, Fariz tidak malu untuk berkongsi apa yang pernah dilaluinya beberapa tahun lalu. Pernah ketiadaan wang sehingga hanya mampu makan mi segera sahaja, kisah hidupnya ini disusun rapi dalam lirik lagu Ape Sia.

     
     
    “Waktu itu hidup saya sangat susah tetapi saya tidak menjadikan cabaran hidup itu dengan menghasilkan lagu dan lirik sedih, hiba, mendayu, meruntun perasaan dan minta simpati orang.
     
    “Hidup ini bukan untuk bersedih. Saya takkan bersedih dan merintih sebaliknya saya berusaha untuk gembira, selalu bersama keluarga dan rakan-rakan kerana merekalah sumber kekuatan saya. Pergi taman tengok bunga dan lihat alam sekeliling, kita kena sayangkan diri sendiri.
     
    “Dengan kejayaan sekarang, setiap hari saya berdoa dan bersyukur  kepada Allah SWT, tidak pernah lupakan keluarga terutama ibu dan rakan-rakan yang menyokong saya sejak dulu.
     
    Tanpa ibu, tiadalah saya. Keyakinan untuk buat lagu serta menjadi artis adalah dorongan daripada beliau,” katanya.
     
    Masih muda dan mahu mempelbagaikan muzik yang dibawa. Fokusnya cukup jelas dalam bidang ini. Mahu mengeluarkan lagu baru setiap enam bulan, kata Fariz bukan sekadar genre yang berubah malah bahasa juga.

     
    “Saya perlu hasilkan lagu-lagu baru dengan pelbagai genre tidak hanya ‘terperangkap’ dengan hip hop dan R&B saja. Saya akan meluaskan muzik saya dalam irama balada, tekno, dalam bahasa Cina dan Tamil selain Bahasa Melayu dan Inggeris.
     
    “Peminat yang mengikuti saya sejak awal, itulah ‘Fariz’, anda takkan tahu saya akan buat apa dan misteri. Saya suka artis di luar negara, Amerika Syarikat misalnya, ada yang jarang sekali ‘mempromosikan’ diri mereka di laman sosial kerana mereka mahu menangkap peminat yang ‘betul’ dan menyokong mereka dari awal lagi.
     
    Jelasnya dia juga tidak hanya mahu dikenali sebagai rapper tetapi seorang penghibur.

    “Jika anda perhatikan stail baju saya juga berubah-ubah. Penampilan saya dalam Ape Sia, Masa dan IG, semua lain sebab saya suka tukar-tukar. Saya bukan hanya rapper, tetapi saya adalah artis dan penghibur. Kalau anda sukakan ‘seni’, ikutlah saya,” katanya.

    https://www.instagram.com/farizjabba/