Sarawak dipilih jadi tuan rumah SUKMA 2024

SARAWAK telah disahkan menjadi tuan rumah bagi penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Pengumuman itu dibuat oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg setelah perkara itu diputuskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam satu mesyuarat mengenai penganjurannya baru-baru ini.

Dalam kenyataan Abang Johari pada 9 Februari lalu, Sarawak sememangnya sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab menjadi tuan rumah untuk sukan dwi tahunan itu dan bersedia untuk melaksanakan kerja-kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur sukan yang sedia ada di negeri berkenaan.

“Kerajaan pusat telah pun memilih Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA 2024. Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah telah mewakili Sarawak dalam satu mesyuarat untuk membuat keputusan tersebut,” katanya di Majlis Penutupan Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (Pesaya) Kali Ke-14 Sarawak 2023 malam tadi.

Sementara itu, Yayasan Sarawak telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pesaya ke-14 dengan pungutan 12 pingat emas, 9 pingat perak dan 3 pingat gangsa.

Sudah pasti kejayaan tersebut membakar lagi semangat atlet atlet Sarawak untuk terus berusaha sehabis baik semasa di SUKMA nanti.

Sumber gambar Wikipedia & Sarawak Tourism | Sumber laporan – Berita Harian