Kerajaan digesa beri bantuan akternatif jika KWSP tidak dapat dikeluarkan

PRESIDEN Pertubuhan Rangkaian Kerjasama Ekonomi, Pembangunan Sosial dan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (INECO), Mohd Ridzuan Abdullah menggesa supaya kerajaan mempercepatkan bantuan alternatif kepada rakyat jika masih dengan pendirian yang tidak membenarkan rakyat membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Usaha itu adalah bertujuan untuk membantu rakyat yang dibebani hutang tertunggak akibat kehilangan pendapatan sejak pandemik COVID-19.

“Bantuan yang diberikan dalam bentuk wang tunai secara ‘one-off’ boleh dimanfaatkan mereka yang sekadar hilang pendapatan tanpa hutang tetapi golongan yang dibebani hutang tertunggak mungkin akan memerlukan jumlah wang tunai yang lebih banyak,” katanya pada Astro Awani.

“Ada di kalangan rakyat, jumlah hutang mereka tidak besar tetapi di dalam akaun KWSP ada ratusan ribu yang jika pengeluaran dibenarkan untuk jumlah tertentu mereka boleh melangsaikan terus hutang berkenaan.

Kerajaan perlulah cepat merangka struktur bantuan untuk mereka ini supaya mereka bebas dari beban berkenaan, selain menjamin keadaan mental mereka stabil,” ujar beliau dalam kenyataan yang dibuat.

Beliau juga mengatakan yang KWSP boleh menetapkan prosedur tertentu untuk langkah selamat seperti menetapkan baki minimum, menghadkan pengeluaran dan keperluan mengemukakan alasan pengambilan bantuan berkenaan daripada setiap pencarum, jika khuatir akan memberi kesan negatif bila wang KWSP dikeluarkan.

Sumber gambar – Wikipedia | Sumber laporan – Astro Awani