Sanggup Beratur Panjang Demi Rebut Beras Rahmah RM11.99

Foto: Sinar Harian

BERA – Beras yang sebelum ini kurang menjadi tumpuan dalam setiap siri Jualan Rahmah berbanding barangan lain seperti minyak peket dan ayam kini menjadi rebutan dalam Jualan Rahmah Kasih Sayang.

Dengan harga RM11.99 bagi sekampit beras lima kilogram, ramai yang membeli antara dua hingga tiga kampit sekali gus.

Seorang penduduk, Nazri Shafie, 57, berkata, dia datang awal semata-mata memastikan dapat membeli beras memandangkan harga beras di luar adalah mahal.

Dia yang berasal dari Kampung Batu Papan memberitahu, harga yang dijual di Jualan Rahmah lebih murah berban­ding harga di kedai runcit di luar termasuk di kawasan kampung.

“Bila dengar ada Jualan Rahmah, saya keluar ke bandar untuk mendapatkan stok, saya dapat beli dua kampit, boleh buat stok untuk sebulan.

“Saya juga beli minyak peket dan gula, sebab kedua-dua barang ini susah sangat hendak dapat di kedai atau pasar raya. Hari ini, saya beli semua bara­ngan keperluan tetapi banyak barang yang dihadkan pembe­lian, jadi tak boleh hendak borong,” katanya.

Azawiah Zawawi, 32 pula berkata, kunjungannya ke Jualan Rahmah juga semata-mata mahu membeli beras dan mi­nyak peket kerana bekalan itu sukar diperoleh selain harga lebih mahal di pasaran luar.

“Selalu beli beras lima kilogram harganya melebihi hingga RM5 bagi setiap kampit tetapi hari ini, saya boleh beli pada harga RM11.99, sangat berbaloi.

“Biarpun kena beratur panjang, tiada masalah asalkan dapat apa nak dibeli dan berjimat,” katanya.

Sementara itu, Zainon Ali, 68, dari Felda Purun, di sini berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang datang mendapatkan barangan yang sudah tiada stok di kedai runcit.

Sumber: Kosmo