Sajat akan didakwa lagi esok

SELEPAS lebih enam bulan ‘diberi muka’, usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat bakal didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret Shah Alam esok, atas tuduhan memiliki dan menjual produk kosmetik tidak berdaftar.

Sumber berkata, Sajat akan berdepan 17 pertuduhan membabitkan pemilikan 11 produk kosmetik tidak berdaftar, lima kosmetik tidak bernotifikasi dan satu pertuduhan penjualan yang bukan keluaran berdaftar.

“Dia sebelum ini dikenakan waran tangkap oleh mahkamah sama pada Mac lalu selepas gagal hadir perbicaraan di mahkamah itu tanpa sebarang alasan kukuh.

“Bagaimanapun tindakannya menyerah diri selepas itu menyebabkan dia tidak ditahan. Sebaliknya kes dihadapinya akan disebut semula di mahkamah pada jam 9 pagi esok,” kata sumber itu kepada Harian Metro.

Sajat bakal didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret, Shah Alam, atas tuduhan menjual produk kosmetik tidak berdaftar.

Tambah sumber, Sajat sebelum ini dituduh memiliki untuk tujuan jualan 11 produk yang bukan keluaran berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut Peraturan 7(1)(a) Dadah dan Kosmetik 1984.

“Difahamkan pihak Cawangan Penguatkuasa Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) KKM sebelum ini melakukan pemeriksaan di premis milik ahli perniagaan itu di Shah Alam, Selangor pada 15 Ogos tahun lalu, susulan maklumat penjualan produk memutihkan kulit tidak berdaftar.

Pihak CPF turut bertindak mengambil keterangan dari beberapa pekerja di premis itu termasuk Nur Sajat selaku pengarah syarikat.

Tindakan diambil selepas pihak CPF menyamar dan membeli produk dijual itu sebagai bukti.

Pemeriksaan dilakukan pegawai CPF di premis itu kemudian menemui produk disyaki bukan keluaran berdaftar dengan KKM sebelum tindakan rampasan dilakukan.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat diperiksa itu adalah berdaftar dan semua produk dirampas adalah milik Nur Sajat untuk tujuan jualan.

Sajat sebelum ini pernah dihadapkan di mahkamah sama pada 14 Disember 2018

“Berdasar keterangan diambil, syarikat itu jelas melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 30(1) peraturan sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952.

“Nur Sajat turut bakal didakwa mengikut Peraturan 18(A),Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 18A(15) peraturan yang sama,” katanya.

Nur Sajat sebelum ini pernah dihadapkan di mahkamah sama pada 14 Disember 2018 atas pertuduhan mengikut Seksyen 41 (6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Malah Sajat pernah didakwa kerana memiliki 19 produk kecantikan tidak berdaftar dengan KKM di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 12 Mei 2019.

Ia susulan tindakan KKM melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Baru Uda, Johor, sebelum merampas 19 produk kecantikan tidak berdaftar bernilai hampir RM10,000.

Pada 28 September lalu, anak kepada pelakon veteran Normah Damanhuri, Rose Azlin Rosli didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, kerana menjual dan memiliki produk tidak berdaftar dengan KKM.

Rose Azlin, 46, selaku Orang Kena Saman (OKS) mewakili syarikat KM Beauty House membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan memiliki 99 paket produk KM Sampah Cleanse yang tidak berdaftar di bawah KKM yang melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, dengan tujuan untuk menjual produk itu.

Rose Azlin yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan ketika kejadian produk berkenaan sedang dalam proses untuk mendapatkan kelulusan KKM.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Mohd Helmi Azman daripada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Selangor, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh atas alasan produk itu sudah diiklankan dalam laman sosial yang boleh diakses umum.

Sumber: Metro