Sabah Beri Kelonggaran, Iktiraf Perkahwinan Di Luar Negara Atau Negeri Lain

Foto : Utusan Malaysia

KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Keluarga Islam (Pindaan) 2023 bagi memberi beberapa kelonggaran untuk memudahkan urusan perkahwinan umat Islam di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, melalui RUU yang diluluskan secara sebulat suara di DUN Sabah hari ini, ia membolehkan kerajaan mengiktiraf mana-mana perkahwinan yang diakadnikahkan di luar negara atau di negeri-negeri lain di Malaysia.

Katanya, RUU itu juga menyediakan peruntukan yang lebih praktikal kepada pemastautin Sabah yang berkahwin di luar negara untuk mengikut undang-undang yang disediakan oleh negara tempatnya bermastautin.

“Mereka hanya perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di negeri ini dalam tempoh enam bulan dari tarikh ketibaan mereka apabila kembali ke Sabah sebagai rekod yang sah menurut undang-undang negeri ini.

“Melalui pindaan itu, pasangan yang hendak berkahwin juga diberi kebebasan untuk menjalani akad nikah dimana-mana daerah di Sabah atau dimana-mana negeri lain dalam Malaysia tanpa tertumpu kepada tempat perempuan itu bermastautin.

“Namun, ia tertakluk kepada kebenaran daripada pendaftar perkahwinan, perceraian dan ruju’ orang Islam, hakim syar’ie atau pihak berkuasa suatu negeri itu,” katanya semasa membentangkan RUU Keluarga Islam (Pindaan) 2023 di persidangan DUN Sabah hari ini.

Beliau berkata, RUU yang dipinda itu juga membolehkan peruntukan baharu dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 bagi memberi punca kuasa kepada Yang Dipertua Negeri untuk melantik jurunikah dari kalangan pendaftar dan mana-mana orang yang berkelayakan tidak lagi mengikut sempadan yang ditetapkan bagi kariah masjid tetapi mengikut kawasan yang ditentukan oleh ketua pendaftar perkahwinan, perceraian dan ruju’ orang Islam.

Menurut Mohd. Arifin, RUU itu juga menyediakan peruntukan yang lebih jelas berkaitan dengan fungsi Wali Raja yang bukan sahaja diperlukan bagi mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab tetapi juga diperlukan dalam mana-mana keadaan iaitu apabila hak wali berpindah kepada Wali Raja menurut hukum syarak.

Pada masa sama, DUN Sabah turut meluluskan dua lagi RUU iaitu Rang Undang-Undang Tatacara Mal Makhamah Syariah (Pindaan) 2003 dan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2023.

Secara keseluruhan, seramai lebih 12 orang ADUN terlibat dalam perbahasan tiga Rang Undang-Undang yang dibentangkan pada hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia