Remaja 15 Tahun Ditahan Mengintai Wanita Dalam Tandas

Foto : TVS

TAPAH – Lelaki yang diburu polis selepas dipercayai mengintai seorang wanita di tandas sebuah stesen minyak di sini Sabtu lalu, telah tampil menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd. Naim Asnawi berkata, suspek berusia 15 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah pada pukul 9 malam pada Ahad.

“Remaja itu datang bersama bapanya ke IPD Tapah dan mengaku dia merupakan individu dalam kes yang disiasat. Kawad cam telah dilakukan oleh mangsa dan suspek dikenal pasti melalui bentuk fizikalnya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, rampasan telah dilakukan terhadap baju suspek yang dipakai ketika kejadian.

“Siasatan sedang dijalankan dan kes akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis sedang mengesan seorang lelaki susulan laporan polis dibuat wanita yang mendakwa diintai seseorang melalui ruang atas tandas semasa sedang menggunakan tandas di stesen minyak berkenaan.

Berdasarkan semakan televisyen litar tertutup (CCTV), didapati seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan telah masuk ke dalam tandas wanita sebelum beredar menaiki kereta jenis Toyota Avanza.

Sumber : Kosmo