Rangka manusia seminggu dalam longkang

POLIS Kajang menemui rangka manusia yang masih lengkap berpakaian di dalam longkang yang ditemui di Jalan Broga malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima aduan pada jam 8.37 malam tadi.

Difahamkan, keadaan mayat tersebut telah reput dipercayai telah meninggal dunia sejak seminggu lalu.

“Siasatan forensik terhadap jasad si mati mendapati telah reput dan busuk dan masih berpakaian lengkap.

“Hasil pemeriksaan awal turut menemui telefon bimbit dan dompet milik si mati,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun tiada sebarang senjata yang ditemui di sekitar lokasi kejadian.

Menurutnya lagi, berdasarkan identiti yang dijumpai, si mati dikenali sebagai Suresh
A/L Nagappan berusia 43 tahun manakala alamat terakhir di G1A Taman Prima Suria, Batu 9 Cheras.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut sementara menantikan laporan bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan.