Kes buli jalan raya hanya salah faham, suspek dipercayai ada masalah mental

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengesahkan kes buli jalanan yang tular di media sosial sejak Isnin adalah akibat salah faham.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 3.25 petang, Isnin berhampiran persimpangan lampu isyarat di Parit Jawa.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian melibatkan seorang pemandu kereta wanita berusia 26 tahun yang telah diserang dengan melakukan khianat ke atas kenderaannya oleh seorang penunggang motosikal lelaki di Pekan Parit Jawa, Muar, lapor Sinar Harian.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di antara kedua-dua pihak berkaitan cara pemanduan masing-masing yang telah menyebabkan suspek bertindak agresif.

“Suspek telah memecahkan cermin sisi kereta sebelah kanan pemandu, cermin depan dan merosakkan bonet hadapan kereta menggunakan topi keledarnya,” katanya.

Zaharudin berkata, hasil siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai mengalami masalah mental dan masih menerima rawatan di hospital.

Katanya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Polis menasihati mana-mana pihak atau individu supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik apa-apa bentuk video atau gambar mahupun kenyataan sehingga tular yang boleh membuat salah faham dan kegusaran di masyarakat,” katanya.

Sejak Isnin, video berdurasi satu minit 38 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial menunjukkan lelaki berkenaan merosakkan cermin dan kenderaan mangsa.

Sumber: Sinar Harian