Rakyat tidak perlu gusar, bekalan beras mencukupi untuk memenuhi keperluan – KPKM

Bekalan beras dalam pasaran mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat negara ini. Dalam satu kenyataan, KPKM menyatakan bahawa kedudukan semasa stok beras negara sehingga 18 Jun lalu adalah sebanyak 1,128,165 tan metrik, mencukupi bagi tempoh lima hingga enam bulan keperluan negara.

“Pada masa ini, kedudukan stok beras dagangan dalam negara di peringkat kilang, borong, dan runcit adalah sebanyak 752,447 tan metrik. Sebanyak 107,757 tan metrik lagi sedang dalam proses pemindahan kapal, manakala 67,961 tan metrik dalam bentuk padi beras tempatan. Bagi menampung keperluan beras negara, KPKM sentiasa memastikan stok beras dagangan melebihi paras keperluan iaitu kira-kira 200,000 tan metrik sebulan,” kata kenyataan tersebut.

Selain itu, KKM telah menyediakan stok penimbal beras sebanyak 200,000 tan metrik yang boleh digunakan pada bila-bila masa sekiranya berlaku kecemasan seperti krisis makanan global atau darurat.

Kerajaan juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan, terutamanya melalui 12 Inisiatif Gelombang Padi bagi menjayakan agenda keterjaminan makanan negara selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2021-2030. Antara inisiatif yang sedang dirangka ialah peluasan program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Ala Sekinchan, program penanaman padi lima musim untuk dua tahun, dan inisiatif memperkukuh infrastruktur pengairan sawah.

“KPKM juga menggalakkan penanaman dan pengambilan hasil tanaman-tanaman lain yang bernutrisi dan sihat oleh rakyat selain daripada makanan ruji negara,” tambah kenyataan itu.