Punca Pelajar Tahfiz Itu Di Pukul Sehingga Mati

CEMBURU melihat Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, lebih mesra serta manja dengan guru dan warden menjadi punca pelajar tahfiz itu dipukul sehingga mati, kelmarin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, mangsa adalah pelajar paling muda di pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang itu.

Mangsa agak manja dengan pentadbir iaitu suami isteri yang bertindak sebagai tenaga pengajar dan warden di pusat tahfiz itu.”

Timbul rasa cemburu dalam kalangan pelajar lain yang menyebabkan berlakunya pergaduhan sebelum mereka memukul mangsa,” katanya.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh wardennya di dalam bilik asramanya.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan lebam di badan mangsa dipercayai akibat dipukul.

Polis kemudiannya menahan tiga pelajar pusat tahfiz itu termasuk abang tiri mangsa untuk siasatan lanjut.

Abd Jalil berkata, hasil bedah siasat ke atas myat mangsa di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh semalam mendapati terdapat impak di bahagian dada dan abdomen mangsa.

“Terdapat kesan trauma pada bahagian dada dan abdomen mangsa oleh impak dengan permukaan atau objek yang tumpul dan keras.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang berusia 13 tahun direman selama tujuh hari sehingga 14 November ini untuk siasatan lanjut.

Warden terkejut ada lebam

SAYA tidak pernah mendengar mereka (pelajar tahfiz) bergaduh dan selama ini hubungan mereka baik saja,” kata Siti Noor Asilah Samsuri, 39.

Dia adalah warden pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang yang mana seorang pelajarnya meninggal dunia dipercayai dipukul rakan, kelmarin.

Mangsa, Mohammad Aimin Nurul Amin, 7, disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk menerima rawatan jam 1 tengah hari.

Siti Noor Asilah berkata, mangsa tidak pernah mengadu sama ada dia pernah dipukul rakan dan dia menyangka mangsa tiada masalah dengan tiga pelajar lain.

AHLI keluarga mengangkat jenazah Aimin keluar dari HoSHAS, semalam.

Menceritakan kejadian kelmarin, katanya, dia menjenguk ke dalam bilik asrama melihat keadaan Mohammad Aimin selepas mangsa didapati tidak menyertai rakan ke masjid menunaikan Solat Zohor.

Ketika masuk ke bilik saya melihat Aimin terbaring di atas katil dan saya bertanya keadaannya..Aimin berkata, dia terlalu penat dan tidak larat untuk bangun.

Saya memegang tangan, kaki dan leher Aimin dan mendapati ianya sejuk sebelum saya serta suami membawanya ke klinik kesihatan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini, semalam.

Katanya, tidak lama kemudian doktor memaklumkan Mohammad Aimin sudah tiada dan apa yang mengejutkan ada kesan lebam di badan.

Siti Noor Asilah berkata, Mohammad Aimin baru kembali ke asrama Ahad lalu selepas diberi cuti sejak Khamis dan pulang ke rumahnya di Kampung Charuk Puting.

Saya tidak perasan kesan lebam pada badannya sebelum ini dan terkejut apabila doktor memaklumkan ada beberapa kesan itu pada badan Aimin,” katanya.

Maahad tahfiz itu diusahakan bersama suaminya, Mohd Heesham Mat Yeh, 39, yang turut menjadi tenaga pengajar dan mula mengambil pelajar sejak awal tahun ini.

Sumber : HMetro