Polis maut tertembak diri sendiri

Seorang anggota polis maut tertembak diri sendiri semasa melaksanakan tugas sekatan jalan raya di Sungai Buah, Dengkil pagi tadi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan, Md Noor Aehwan Mohammad berkata, dalam kejadian jam 3.55 pagi itu, anggota berusia 26 tahun terbabit berada kira-kira 50 meter dari kawasan sekatan jalan raya.

Tambah beliau, terdapat satu kesan luka masuk ke sebelah kanan atas telinga mangsa dan satu kesan luka tembakan keluar di atas telinga kiri anggota terbabit.

“Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian jam 4.35 pagi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Susulan itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat,” katanya dipetik Berita Harian 

Sementara itu, beliau turut berkata, menerusi hasil bedah siasat, doktor mengesahkan terdapat kesan luka tembakan masuk di sisi kanan menembusi tengkorak sebelah kiri belakang kepala mangsa.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih lagi diteruskan oleh pihak polis.

Bagaimanapun, Md Noor Aehwan berkata, mangsa berkhidmat dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia sejak lima tahun lalu.

“Mangsa juga sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri dan seorang anak,” katanya.