PLUS tutup lorong tambah nilai hari ini

Kredit- Bernama

 PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup semua lorong tambah nilai di plaza tol masuk, mulaio hari ini hingga 2 Jan depan, susulan bagi melancarkan pergerakan trafik sempena cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

Menurut PLUS dalam kenyataan semalam  memaklumkan penutupan yang dilaksanakan pada setiap musim perayaan itu, bertujuan mengurangkan kesesakan yang disebabkan pelanggan beratur, di lorong tambah nilai plaza tol.

Kemudian, Pada musim perayaan ini, PLUS menjangkakan peningkatan jumlah trafik sebanyak 18 peratus kepada dua juta kenderaan berbanding 1.7 juta kenderaan pada hari biasa.

“Oleh itu, perjalanan di plaza tol dijangka terjejas sekiranya masih terdapat pelanggan yang terkandas dan tidak dapat membuat transaksi tol apabila baki pada kad Touch ‘n Go mereka tidak mencukupi. Apabila ini berlaku, ia sudah pasti mengganggu keselesaan dan perjalanan pelanggan lain,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, laporan Bernama turut menyatakan, PLUS juga tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar di plaza tol.

Bagaimanapun, PLUS menasihatkan pelanggan merancang perjalanan dan menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal di kira-kira 11,000 pusat menambah nilai kad Touch ‘n Go di seluruh negara, yang merangkumi mesin ATM, R&R, stesen minyak dan kedai serbaneka.

PLUS turut memaklumkan, pelanggan lebuh raya itu masih belum boleh menggunakan perkhidmatan e-Wallet PayDirect pada ketika ini.