“Bawak molek heli tu…” pesanan terakhir bapa arwah nahas helikopter terhempas undang sebak netizen

PESANAN bapa arwah pelatih penerbangan, Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi di status Facebook (FB) anaknya sehari sebelum nahas pagi semalam menyebabkan ramai netizen sebak dan tersentuh hati, lapor Harian Metro.

Malah, video terakhir menunjukkan sebuah helikopter yang dimuat naik oleh arwah semalam dilihat hampir 100,000 orang selain dikongsi lebih 200 orang dan menerima 80 komen.

Menerusi status itu, bapa arwah yang menggunakan nama Mohamed Rawi Che Muda di FB berpesan supaya anaknya itu berhati-hati membawa helikopter kerana keadaan cuaca tidak menentu.

HELIKOPTER yang terhempas di kawasan Taman Melawati, Ampang. – Gambar kredit: Harian Metro

“Bawak molek heli tu (bawa heli dengan baik). Loni (sekarang) musim angin ribut,” tulisnya.

“Insya-Allah.” balas Mohd Irfan Fikri kepada pesanan bapanya itu.

Dalam kejadian 11.30 pagi semalam, Mohd Irfan Fikri, 44, dan jurulatih penerbangan, Mohd Sabri Baharom, 56, disahkan meninggal dunia selepas helikopter dinaiki terbabit kemalangan di udara dengan sebuah lagi helikopter sebelum terhempas di Jalan Melawati, Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, dua lagi penumpang yang selamat dikenali sebagai Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51.

Kedua-dua helikopter jenis G2CA itu dipercayai dalam penerbangan latihan dari Subang menuju ke Genting Sempah.

Dalam perkembangan sama, Akaun FB milik Mohd Irfan Fikri dihujani ucapan takziah oleh rakan dan netizen.

FB yang menggunakan nama Irfan F. Rawi menerima ratusan hantaran ucapan itu dan komen selain ada yang turut berkongsi gambar bersama arwah suatu ketika dulu.

Dalam pada itu, waris mangsa nahas helikopter yang hadir di bilik jenazah Hospital Canselor Tuanku Muhriz semalam tidak dibenarkan membuat pengecaman mayat berikutan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Keluarga mangsa hadir jam 4.40 petang semalam selepas jenazah yang dibawa menggunakan trak polis tiba di hospital berkenaan pada 4.23 petang.

Ahli keluarga mangsa hanya dibenarkan masuk ke bilik jenazah berkenaan namun tidak dibenar melakukan proses pengecaman.

MOHD Izani (kiri) bersama adik-beradik lain ketika menanti jenazah adiknya, Mohd Irfan di Hospital Kuala Lumpur semalam. – Gambar kredit: Harian Metro

Dr. Mohd Izani Mohamed Rawi, 48, abang sulung kepada arwah Mohd Irfan Fikri, 44, memaklumkan dia diberitahu untuk menunggu keputusan Covid-19 terlebih dahulu dan selepas itu baru proses bedah siasat diteruskan.

“(Arwah) Dalam beg, tak bagi tengok. Tiada siapa boleh tengok jenazah lagi.

“Apabila dapat keputusan (Covid-19) baru boleh teruskan dengan bedah siasat atau sebagainya. Tetapi kalau positif Kementerian Kesihatan ambil (jenazah) terus.

“(Keputusan Covid-19) Secepatnya esok. Mungkin cepat mungkin lambat. Kita tunggu mereka (pihak hospital) hubungi,” katanya kepada media.

Usaha media untuk mendapatkan respons isteri arwah Mohd Irfan Fikri dikenali sebagai Wan Nani Bazlin turut gagal apabila beliau dan beberapa individu lantas memasuki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih sejurus keluar dari bilik jenazah, lalu beredar dari tempat kejadian.

ISTERI Mohd. Irfan, Wan Nani Bazlin (kiri) hanya mampu menangis dengan tragedi yang menimpa arwah suaminya. – Gambar kredit: Harian Metro

Mohd Izani berkata, isteri arwah tidak bercakap apa-apa dan cuma menangis.

Selain itu, media juga gagal mendapatkan maklum balas daripada keluarga arwah Mohd Sabri Baharom yang maut dalam insiden sama.

Sumber: Harian Metro