Saya akan buat laporan polis! – Danial Zaini berang scammer guna gambarnya sebagai iklan

PELAWAK dan penyampai radio Danial Zaini meluahkan rasa kurang senang apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan gambarnya tanya kebenaran.

Lebih teruk, gambar yang digunakan adalah bertujuan untuk mempromosikan perniagaan pelaburan yang diragui kesahihannya.

“Ada pihak yang menggunakan gambar saya tanpa kebenaran dengan membuat iklan saham pelaburan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan hasil Macau Scam” – Danial Zaini kongsi kejayaan miliki kereta mewah hasil kerja keras 10 tahun

“Saya ingin tegaskan saya tidak terlibat dengan mana-mana pelaburan atau saham,” tulis Danial di Instagram.

Danial tegaskan bakal buat laporan polis.

Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 27, melalui posting di laman Instagram miliknya turut memberi amaran keras agar pihak terbabit segera memadam iklan.

Malah penyanyi lagu Siti Bilang cuti ini berkata dia tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Kepada pihak yang mengunakan gambar saya diminta delete gambar tersebut dalam masa 24 jam.

“Laporan polis akan dibuat oleh saya dalam masa terdekat,” tambah Danial.

Danial bersama kereta mewah yang baru dimiliki minggu lalu.

Melalui semakan The News Malaysia, iklan pelaburan yang menggunakan gambar Danial bersama kereta mewah yang baru dibelinya menunjukkan keraguan yang jelas malah memaparkan penggunaan bahasa yang kurang jelas.

Lebih mengejutkan, iklan terbabit turut menggunakan logo Bank negara Malaysia untuk meyakinkan prospek pelanggan.

Untuk rekod, pada minggu lalu bertebaran kisah kejayaan Danial yang berjaya memiliki kenderaan mewah idamannya yang akhirnya dikecapi selepas 10 tahun berhijrah ke ibu kota.