Permohonan Dapatkan Pasport Lulus, Muhyiddin Yassin Boleh Ke Bangkok

Mahkamah Sesyen hari ini meluluskan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasportnya bagi melawat rakan perniagaan dan menghadiri perasmian restoran halal di Bangkok, Thailand.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas berpuas hati untuk melepaskan sementara passport Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden BERSATU itu, bermula hari ini sehingga 23 Februari ini.

“Mahkamah bersetuju bahawa tujuan jaminan diberikan adalah untuk menjamin kedatangan ke mahkamah untuk menjawab tuduhan dan pasport diserah bagi tujuan sekatan pergerakan ke atas pemohon sehingga kes dilupuskan.

“Mahkamah juga mendapati tiada bukti bahawa pemohon mempunyai risiko untuk melarikan diri,” katanya.

Kelmarin, pihak pendakwaan dilapor membantah permohonan Muhyiddin bagi mendapatkan pasport sementara untuk ke Thailand pada 15 Februari ini.

Sumber : Berita Harian