Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) – Ini Senarai 11 Aktiviti Yang Masih Dilarang

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa hari ini sehinggalah 31 Ogos hadapan. Di dalam tempoh ini pelbagai kelonggaran telah mula diberikan oleh pihak kerajaan seperti membuka kedai gunting rambut, kebenaran merentas sempadan negeri dan operasi perkhidmatan penghantaran makanan sehingga jam 12 malam. Tetapi masih terdapat beberapa aktiviti yang masih dilarang kerana terdedah kepada risiko berlakunya penularan wabak Covid-19 semula.

Covid-19

Pihak Majlis Keselamatan Negara telah mengeluarkan senarai larangan terkini mereka hari ini. Di dalam senarai ini 11 aktiviti yang masih dilarang sepanjang tempoh PKPP adalah seperti di bawah. Ia adalah senarai yang agak panjang tetapi jauh lebih pendek berbanding 64 sektor dan aktiviti yang dilarang semasa tempoh PKPB sebelum ini.  Dengan senarai baharu ini diharap rakyat lebih cakna mengenai aktiviti kini dibenarkan sekaligus memudahkan perubahan ke norma baharu.

  1. Penganjuran acara dan pertandingan sukan, dan acara dan pertandingan sukan.
  2. Perayaan, Perarakan, Perhimpunan dan Konvokesyen.
  3. Persidangan dan Pameran selain di Pusat Konvensyen.
  4. Aktiviti kolam renang (selain kolam renang di rumah persendirian dan kolam renang untuk kegunaan persendirian di premis penginapan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482]) kecuali untuk latihan atlet negara bagi penyertaan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
  5. Aktiviti pelancongan ke luar negeri oleh warganegara dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang melibatkan pelancong asing memasuki Malaysia.
  6. Aktiviti di pusat karaoke, tempat permainan kanak-kanak di pusat membeli belah dan pusat hiburan keluarga.
  7. Aktiviti di dalam pub dan kelab malam, kecuali perniagaan restoran di dalam pub dan kelab malam.
  8. Menyedang pakaian, penggunaan bilik acu di kedai pakaian, mencuba aksesori fesyen di kedai dan menyediakan sampel penguji kosmetik di kedai.
  9. Aktiviti refleksologi dan urut di dalam establismen kesihatan dan kecantikan.
  10. Aktiviti kapal persiaran.
  11. Apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah.