Perbicaraan di semua mahkamah ditangguh

Semua perbicaraan dan pendengaran kes sivil serta jenayah seluruh mahkamah di negara ini sepanjang tempoh 18 hingga 31 Mac ini ditangguhkan dan penetapan tarikh yang baharu akan dimaklumkan kemudian.

Bagi mahkamah yang menggunakan sistem eKehakiman, pemfailan kes sivil baharu dan notis rayuan serta dokumen akan berjalan seperti biasa melalui sistem eFiling.

Bagi mahkamah yang tidak mempunyai sistem eKehakiman, pemfailan kes sivil baharu dan dokumen akan hanya diterima mulai 1 April 2020.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengumumkan Perintah Kawalan Perjalanan berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac ini bagi membendung penularan COVID-19.

Perintah kawalan selama 14 hari itu membabitkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya, selain semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Sumber : Berita Harian