Peranan PTPTN Bukanlah Sekadar Memberi Dan Mengutip Hutang

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak mahu lagi dilihat sebagai pemberi pinjaman dan pengutip hutang semata-mata, sebaliknya mahu dilihat sebagai satu organisasi yang berperanan sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi utama untuk rakyat di negara ini.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, sehingga 31 Disember lalu, PTPTN telah membantu seramai 3.78 juta pelajar dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM68.38 bilion.

Ahmad Dasuki Abdul Majid (Gambar : Jabatan Perdana Menteri)

Beliau menjelaskan bahawa dengan jumlah besar yang telah dikeluarkan itu memberi gambaran bahawa peranan perbadanan itu dalam membantu pelajar bagi tujuan pendidikan tinggi amat penting.

“Penubuhan PTPTN adalah ibarat ‘pelangi yang muncul selepas hujan’ kerana sesuai dengan objektif penubuhannya iaitu memberikan seribu satu harapan kepada pelajar dan ibu bapa khususnya mereka dari keluarga B40 dan M40.

“Peluang dan akses terhadap pendidikan yang berkualiti merupakan jalan keluar daripada kemelut kemiskinan yang bukan sahaja membantu mengubah nasib sesebuah keluarga, malah membantu menawarkan peluang pekerjaan sekali gus menawarkan masa hadapan yang lebih cerah kepada seluruh generasi.

“Melalui wujudnya PTPTN, isu keciciran pelajar kerana masalah kewangan dan kisah bergadai harta untuk menghantar anak menyambung pengajian telah dapat diatasi,” katanya kepada Sinar Harian.

Gambar : Wikipedia | Sumber : Sinar Harian