Perak Cadang Had Kelayakan Beli Rumah Kos Rendah Naik Kepada RM5,000, Yakin Tanah Negeri Masih Luas

IPOH, 22 Ogos-Kerajaan Negeri Perak bercadang menaikkan had kelayakan pendapatan isi rumah bagi pembelian rumah kos rendah di negeri itu kepada RM5,000 sebulan berbanding RM3,860 sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani berkata, perubahan kelayakan itu membolehkan lebih ramai isi rumah layak memohon pembelian rumah kos rendah.

“Jangkaan peratusan kenaikan bagi permohonan untuk rumah kos rendah ini belum ada kerana masih di peringkat kertas kerja, tetapi kita di Perak ini tiada masalah kerana mempunyai tanah yang luas.

“Jadi kita sedia bermati-matian untuk mengguna pakai tanah sedia ada bagi tujuan membangunkan rumah kos rendah demi memenuhi keperluan rakyat,”katanya.

Cadangan perubahan kelayakan itu katanya, akan diluluskan dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyerahan Kunci Projek Rumah Perakku di Taman Perakku Serdang, Sitiawan.

Rumah Perakku di Taman Serdang merupakan projek keempat berjaya disiapkan dalam tempoh 26 bulan.

Projek tersebut melibatkan pembangunan 447 unit di kawasan seluas 12 hektar membabitkan peruntukan sebanyak RM55.3 juta oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).

100 unit daripadanya adalah kediaman kos rendah manakala 347 unit lagi kediaman mampu milik teres setingkat berharga antara RM70,000 hingga RM168,000.