Penyakit Hati Kronik Punca Tahanan Warga Kenya Meninggal

Foto : Kosmo

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan kematian seorang tahanan lelaki warga Kenya di Beluru, Marudi, Sarawak, Isnin lalu adalah berpunca daripada pendarahan dalam perut akibat penyakit hati yang kronik.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Seri Azri Ahmad berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Miri, Sarawak, semalam, turut mendapati tiada sebarang kecederaan berunsurkan jenayah dikesan.

“Ujian pengesahan Covid-19 dibuat ke atas Orang Kena Tuduh (OKT) berusia 50 tahun tersebut dan keputusan adalah negatif.

“Punca kematian adalah disebabkan intra-abdominal haemorrhage due to reptilured liver cirrhosis (pendarahan dalam perut akibat penyakit hati yang kronik,” katanya dalam kenyataan, malam semalam.

Tambahnya, kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mengulas lanjut, Azri berkata, siasatan dari pelbagai sudut akan diteruskan oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian dalam Tahanan, JIPS, sebelum diserahkan kepada koroner.

Terdahulu, Azri memaklumkan seorang tahanan lelaki warga Kenya meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah klinik kesihatan Beluru, Marudi, Sarawak, Isnin lalu.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada hari yang sama.

“Semasa dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi, OKT itu mengadu sakit dada dan sukar bernafas. Dia segera dibawa ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.

Menurut Azri, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan klinik pada pukul 10.30 malam.

Sumber : Kosmo