Penunggang motosikal maut akibat merempuh belakang pacuan empat roda

Kredit-Berita Harian

Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh belakang pacuan empat roda ketika membuat pusingan U di Jalan Pantai, Lahad Datu.

Kejadian berlaku lingkungan jam 4.27 petang semalam, mangsa Rizwan Syah Hassan, 22, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Lahad Datu.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansur, berkata kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha dengan sebuah Toyota Vigo yang dipandu seorang lelaki ketika membuat pusingan U di jalan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari bandar Lahad Datu menuju ke Jalan Kastam lama.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai melanggar belakang pacuan empat roda sehingga menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan raya,” katanya dipetik Berita Harian.

Nasri berkata, mangsa didapati mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital. Motosikal mangsa juga didapati mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala Toyota Vigo rosak di bahagian belakang akibat kejadian itu,” katanya.

Menurut laporan Berita Harian, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.