Penggiat seni gesa Hans Isaac letak jawatan

Sekumpulan penggiat seni tanah air mendesak Kementerian dan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Gobind Singh Deo, Pengerusi Perbadanan Perfileman Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac dan beberapa ahli lembaga FINAS agar meletak jawatan.

Desakan itu dibuat oleh Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Timbalan Presiden Seniman, Komuniti Filem Titiwangsa (KOMFIT), Persatuan Sinematografi Malaysia (MYSC) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Presiden Profima, Kapten Khir Mohd. Noor berkata, desakan itu dibuat kerana didapati mereka tidak melaksanakan amanah yang telah diberi.

“Kami sepakat mendesak agar menteri KKMM, Gobind Singh Deo, Hans Isacc dan beberapa ahli lembaga pengarah FINAS agar meletakkan jawatan. Sikap acuh tak acuh Menteri dalam berdepan masalah industri dan juga tidak mesra dengan penggiat seni, membuatkan kami rasa jauh dan terpinggir.

“Sehingga kini kami tidak berkesempatan untuk bersemuka dan serta berbincang masalah industri. Beliau seolah-olah mengelak bertemu kami dalam beberapa majlis yang diadakan,” katanya dalam sidang media yang diadakan hari ini di Restoran Al-Andalus, Kuala Lumpur.

Khir turut mendakwa yang Hans tidak menghormati penggiat seni kerana pernah berlaku dalam satu mesyuarat. Tambahnya, Hans bertindak melulu dengan memberi kata dua kepada penggiat seni sedangkan mesyuarat belum bermula.

Bukan setakat itu sahaja, Khir juga mendakwa Hans, sering mencampuri urusan Ahmad Idham, sehinggakan beberapa perancangan untuk industri terbantut disebabkan jawatan Ketua Eksekutif FINAS direhatkan.

“Kami tengok macam banyak benda yang tidak kena dengan FINAS, banyak benda yang menjadi tanda tanya termasuklah geran filem yang telah diberikan kepada penerbit tanpa melihat hasilnya.

“Kami juga ingin tahu kenapa Idham direhatkan. Kalau betul direhatkan, kenapa? Kalau benar dia dipecat, apa alasannya? Siapa pengganti dia. Sekarang ini banyak urusan penggiat seni yang perlu berurusan dengan FINAS,” dakwanya.

Khir mengulas lebih lagi, kalau FINAS tidak boleh menyelesaikan masalah industri lebih baik tutup sahaja organisasi tersebut. Malah beliau turut mencadangkan agar ditubuhkan Suruhanjaya berkaitan.

Turut hadir, Presiden PKDM, Mohd Dena Lau Abdullah, Presiden FDAM, Datuk Ibrahim Ahmad, Timbalan Presiden Seniman, Zuraini Kassim dan mantan Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman.

Sebelum ini, beberapa kontroversi mengaitkan FINAS menjadi bualan penggiat seni. Antaranya, termasuklah isu cadangan penapisan kandungan penstriman digital berbayar (Netflix) dan larangan pelakon muda disolek menjadi tua.

Kemuncak kemelut FINAS tercetus bila Ketua Pengarah Eksekutifnya Ahmad Idham direhatkan secara tiba-tiba pada 5 Disember lalu selepas dilantik pada 14 Mac lalu.